Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tragedi bas kilang: Mangsa bergelimpang atas lebuh raya

"Saya nampak banyak mayat dan mangsa kemalangan bergelimpangan di tepi lebuh raya sebaik turun dari bas," kata seorang mangsa nahas bas kilang di kilometer 147 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Namun kata Nor Shakirah Ishak, 40, apa yang paling meruntun jiwanya ialah rakan sekerja paling rapat dengannya, Noriah Kasa, 40, turut maut dalam kejadian itu walaupun tidak terpelanting keluar seperti mangsa lain.

"Saya sedang tidur (dalam bas) sebelum terdengar dentuman kuat dan pemandu bas suruh kami semua turun dari bas melalui pintu belakang," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di Seberang Perai Tengah.

Nor Shakirah dalam perjalanan dari rumahnya di Parit Buntar ke Bayan Lepas berkata kejadian kira-kira jam 6 pagi itu berlaku terlalu pantas apabila bas dinaikinya tiba-tiba melanggar sebuah bas lain di depannya.

Bergegar, terhuyung-hayang

"Bas kami tidaklah laju sangat namun bas di hadapan rosak dan berhenti di tepi jalan... mungkin sebab bas depan tak pasang lampu menyebabkan pemandu bas kami tak perasan kehadiran bas itu," katanya yang cedera ringan di muka dan kaki.

Dia yang tidak dapat menahan sedih berkata rakannya yang meninggal itu adalah teman baiknya sejak dia bekerja di kilang itu tujuh tahun lepas.

"Selalunya dia lebih suka duduk di bahagian tepi berdekatan pemandu tapi kali ini dia tiba-tiba duduk di depan saya," katanya dan menambah ketika kejadian, terdapat kira-kira 20 pekerja kilang yang turut menaiki bas itu.

Seorang lagi mangsa dari bas yang sama, Nur Hidayah Sulaiman, 37, berkata semasa kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur dan tiba-tiba terdengar bunyi rempuhan kuat sebelum masing-masing menjerit ketakutan kerana bimbang bas dinaiki terbalik.

"Saya duduk di bahagian belakang... lepas melanggar bahagian belakang sebuah bas di kiri lebuh raya itu, bas bergegar dan terhuyung-hayang sebelum ke arah kanan jalan, ada penumpang yang terpelanting dalam bas.

"Keadaan waktu itu kelam kabut dan semua menjerit kerana takut dan cemas. Sebaik turun dari bas saya nampak banyak mayat bergelimpangan dan mangsa yang cedera," katanya.

Beliau yang bekerja di kilang itu sejak 10 tahun lepas hanya luka dan lebam di tangan, kepala dan badan serta dirawat sebagai pesakit luar di HSJ.

- Bernama

Lihat Komen
ADS