'PM tak boleh nasihat Agong batalkan lantikan ketua hakim'
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa perdana menteri tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menarik kembali pelantikan Ketua Hakim Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan.
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili perdana menteri dan dua hakim itu, berkata usaha Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan perintah mendamus bagi memaksa Datuk Seri Najib Razak berbuat demikian tidak boleh dilaksanakan berdasarkan undang-undang.
“Tiada dalam undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan untuk perdana menteri berbuat demikian.
“PM tiada tanggungjawab undang-undang untuk menasihatkan pembatalan lantikan, justeru itu, mahkamah tidak dapat mengarahkan mendamus (memaksa beliau berbuat demikian),” kata Loke.
Loke berkata demikian ketika menolak permohonan Mahathir untuk mencabar lantikan Raus dan Zulkefli yang melebihi umur persaraan 66 tahun, enam bulan.
Mahathir memfailkan permohonan semakan kehakiman Ogos lalu untuk mencabar lantikan Raus sebagai ketua hakim negara dan satu lagi permohonan terhadap Zulkefli bulan lalu.
Sebelum itu, dalam kamar, hakim Azizah Nawawi menolak permohonan peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla untuk menggugurkannya daripada mendengari kes itu atas alasan kebimbangan kes itu dijalankan secara berat sebelah.
Permohonan itu dibuat kerana Azizah pernah menolak permohonan Mahathir untuk menggugurkan dua anggota suruhanjaya siasatan diraja berkaitan kerugian urus niaga tukaran asing atas alasan lantikan sebegitu tidak boleh dicabar di mahkamah.

