Jangan seleweng fakta tanah runtuh, kata exco
Exco kerajaan Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, NGO di negeri itu berhak menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri ekoran tanah runtuh di Tanjung Bungah Sabtu lalu, namun mereka perlulah menyatakan fakta yang sebenar berhubung kejadian itu.
Beliau mendakwa ada pihak tertentu yang "mengeksploitasi" kejadian tragik itu untuk meletakkan kesalahan kepada kerajaan negeri.
"Dapatkan fakta yang betul dan jangan selewengkan kebenaran," katanya pada sidang media hari ini.
"Kami tidak menafikan berlakunya tanah runtuh di tapak pembinaan. Tetapi ada sesetengah pihak cuba mengabaikan dan malah menafikan yang ia merupakan kemalangan di tempat kerja.
"Gambaran bahawa projek itu dibina di lereng bukit tidak benar. Skim rumah mampu milik dibina di tanah rata, dan ini disahkan oleh Institut Jurutera Malaysia," katanya.
Jagdeep mengulas kenyataan beberapa NGO, antaranya Sahabat Alam Malaysia, yang mengancam menarik balik sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mentadbir negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
SAM sebelum ini berkata, kempen alam sekitar mereka sebelum ini telah menyumbang kepada kekalahan bekas ketua menteri, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU 1990, serta kekalahan Gerakan dalam PRU 2008.
Ketua Menteri Lim Guan Eng bertegas yang insiden yang meragut 11 nyawa itu merupakan kemalangan tempat kerja, dan telah menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan negeri bagi menyiasatnya.
Jagdeep berkata, kemalangan tempat kerja merupakan isu keselamatan penting bagi mereka yang kehilangan anggota keluarga dalam insiden itu.
"Tindakan menafikan ia adalah kemalangan tempat kerja akan memberikan kesan undang-undang, dari segi tanggungjawab kewangan 11 pekerja yang terkorban," katanya.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dato Keramat itu berharap suruhanjaya siasatan negeri akan dapat menentukan beberapa hal penting, seperti sama ada projek itu dibina di tanah rata ata lereng bukit seperti didakwa dan soal kelulusan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Suruhanjaya itu akan ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 untuk menyiasat punca tragedi itu.
"Kami berharap hasil siasatan akan membolehkan pihak bertanggungjawab dihukum, serta menyiasat hal-hal lain berkaitan projek itu," katanya lagi.

