Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS bersama PPIM banteras judi, kata Nasrudin
Diterbitkan:  Oct 24, 2017 6:53 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

PAS menyuarakan sokongannya terhadap Persatuan pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dilihat giat membanteras sindiket judi dan menyifatkan usaha itu sebagai cukup membanggakan.

Ketua Penerangan Nasrudin Hassan berkata, parti itu juga sentiasa konsisten dalam memerangi "teras kemungkaran" itu.

"InsyaAllah PPIM tidak bersendirian. PAS bersama PPIM," katanya dalam siri kenyataan 'Sekali Serban Dililit' di laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan mendakwa wujudnya sembilan ketua bergelar 'dragon' yang menjadi dalang kegiatan haram termasuk judi haram. Beliau mendakwa mereka mengutip RM5 bilion sebulan daripada pusat perjudian.

Pada 20 Oktober lalu, Nadzim mendakwa dirinya dan PPIM diancam sindiket selepas membuat pendedahan itu, walaupun ketika itu tidak melaporkannya kepada polis.

Nasrudin menyeru orang ramai tanpa mengira kaum dan agama agar turut bersama dalam membanteras perkara itu hingga ke akar umbi.

"Malaysia mesti bebas daripada bahang panas judi yang merosakkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Ia mengundang ancaman kepada pihak tak bersalah, seperti keluarga dan masyarakat," katanya.

Anggota parlimen Temerloh itu juga menggesa kerajaan agar lebih serius membanteras judi, antaranya dengan meningkatkan penguatkuasaan.

Hubungan antara PAS dan PPIM akhir-akhirnya ini dilihat semakin akrab.

Bulan lalu Yusuf Azmi, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM yang kian mencipta nama, menyertai himpunan Fastaqim 2.0 anjuran PAS di Kuala Terengganu dan turut memberikan ucapan dalam salah satu programnya.

 

Lihat Komen
ADS