MIDA nafi pelaburan asing merosot akibat pertumbuhan rendah
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menafikan dakwaan bahawa pelaburan asing merosot kerana pertumbuhan ekonomi yang tidak cukup tinggi dan masa depan yang tidak menyakinkan.
Dalam satu kenyataan semalam, MIDA berkata ekonomi negara terus berkembang pada kadar 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2017, antara yang tertinggi di dunia.
“Malah, beberapa badan antarabangsa seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Pembangunan Asia menjangka ekonomi Malaysia akan berkembang melebihi 5 peratus pada 2017,” katanya yang mengulas dakwaan tersebut dalam sebuah akhbar tempatan.
Mengenai pelabur asing yang menutup perniagaan atau berpindah ke negara lain, MIDA berkata dalam keadaan ekonomi dunia yang mengalami perubahan dinamik, beberapa syarikat telah melaksanakan rasionalisasi perniagaan.
Katanya perubahan dalam kos buruh dan evolusi digital yang telah mengubah landskap perniagaan telah menyebabkan beberapa syarikat menyusun semula strategi perniagaan untuk memastikan mereka kekal berdaya saing dan mampan.
“Bagi tempoh Januari hingga September 2017, sebanyak 14 syarikat perkilangan telah melaksanakan proses rasionalisasi, di mana 2,922 pekerja telah diberhentikan namun majoriti daripada mereka telah diserap masuk untuk bekerja di syarikat lain,” katanya.
MIDA berkata sebahagian daripada 14 syarikat itu memilih untuk berpindah ke negara jiran yang lain seperti Vietnam dan Thailand disebabkan kos pengeluaran yang lebih rendah.
Katanya Malaysia kini lebih memilih untuk menumpu perhatian kepada pelaburan yang berkualiti tinggi dan penekanan diberikan kepada industri yang berintensifkan pengetahuan dan automasi, selari dengan perkembangan Industri 4.0.
“Beberapa syarikat yang sedang beroperasi di Malaysia telah mengambil keputusan untuk membesarkan lagi operasi mereka.
“Sebanyak 84.5 peratus daripada RM9.6 bilion pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan bagi tempoh enam bulan pertama 2017, merupakan pelaburan tambahan oleh syarikat yang sudah pun melabur di sini,” katanya.
- Bernama

