Tahfiz: 90 pusat beroperasi tanpa dapat kelulusan
Lebih 90 peratus pusat tahfiz di seluruh negara beroperasi tanpa kelulusan bangunan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata hanya 80 daripada 1,238 pusat tahfiz di negara ini yang mendapat kelulusan bangunan.
“Hanya 80 (pusat tahfiz) saja, iaitu 73 tahfiz yang berdafar dan tujuh (lagi) tidak daftar,” katanya.
Menurutnya, daripada 1,238 pusat tahfiz itu, sebanyak 252 dikenal pasti tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan semasa pemeriksaan keselamatan kebakaran yang dijalankan dari 26 September hingga 17 Oktober lalu.
“Daripada jumlah itu, 169 pusat tahfiz adalah berdaftar dengan majlis agama atau Jakim manakala 83 lagi tidak berdaftar dengan mana-mana pihak.
“Berikutan itu, sebanyak 367 notis bahaya kebakaran telah dikeluarkan kepada 83 pusat tahfiz.
“Tempoh antara 90 ke 180 hari telah diberikan kepada pusat tahfiz terlibat untuk mematuhi piawaian ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR - Petaling Jaya Selatan).
Hee ingin tahu usaha kerajaan yang diambil bagi memastikan keselamatan bangunan pusat tahfiz selepas insiden kebakaran di ibu negara baru-baru ini dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

