Pasport Malaysia kini setanding Amerika, Kanada
Pasport Malaysia dilaporkan berada dalam kedudukan tangga yang sama dengan Amerika Syarikat, Kanada dan Ireland.
Akhbar Straits Times Singapura yang memetik indeks yang dibangunkan oleh firma penasihat global Arton Capital, meletakkan pasport Malaysia sebagai antara yang "paling berkuasa" dengan 154 markah.
Indeks itu menilai kemampuan sesuatu pasport mendapat akses di sempadan dengan mengambil kira pemegangnya tidak memerlukan visa atau dibenarkan masuk dengan memohon visa semasa ketibaan.
Sebelum ini, 10 pasport “paling berkuasa” adalah daripada negara-negara Eropah, dengan Jerman mendahului sejak dua tahun lalu.
Namun, sejak awal tahun 2017, kedudukan nombor 1 telah dikongsi bersama dengan Singapura, yang kemudiannya terus melonjak ke tangga pertama.
Menurut indeks itu, kedudukan pasport Amerika Syarikat jatuh sejak Donald Trump mengambil alih jawatan presiden negara itu. Baru-baru ini, Turki dan beberapa negara di Afrika Tengah membatalkan status bebas visa ke atas pemegang pasport Amerika.

Di kalangan negara Asia, selain Singapura, kedudukan pasport Korea Selatan dan Jepun adalah mengatasi Malaysia.
Berikut senarai itu:
1. Singapura (159)
2. Jerman (158)
3. Sweden, Korea Selatan (157)
4. Denmark, Finland, Itali, Perancis, Sepanyol, Norway, Jepun, United Kingdom (156)
5. Luxembourg, Switzerland, Belanda, Belgium, Austria, Portugal (155)
6. Malaysia, Ireland, Kanada, Amerika Syarikat (154)
7. Austria, Greece, New Zealand (153)
8. Malta, Republik Czech, Iceland (152)
9. Hungary (150)
10. Slovenia, Slovakia, Poland, Lithuania, Latvia (149)

