Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS sudah bersedia untuk pertembungan tiga penjuru di negeri kubu kuatnya Kelantan, kata pesuruhjaya negerinya Datuk Ahmad Yakob.

"Di Kelantan semua (kerusi) PAS bertanding, sebab kita tak ada lagi pakatan.

"Kita bersedia dengan pertandingan tiga penjuru, " ujar yang juga menteri besar Kelantan selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Kota Bharu hari ini.

Timbalan mursyidul am PAS itu hari ini sekali lagi mengulangi pendirian bahawa mereka akan bertanding di kesemua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi parlimen di Kelantan.

Kali terakhir PAS bertanding secara bersendirian pada pilihan raya umum 1978 selepas keluar daripada BN setahun sebelumnya.

Ketika itu, parti itu hanya menang dua daripada 36 kerusi DUN dan dua daripada 10 kerusi parlimen.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 1990, PAS terpaksa membahagikan kerusi mereka dengan sekutu politik di negeri itu, walaupun masih mendominasi majoriti kawasannya.

Parti Islam itu juga pernah bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama Parti Melayu Semangat 46 (kini dibubarkan) dan PKR serta DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

Dalam pilihan raya umum akan datang yang mesti diadakan sebelum Ogos depan, PAS dijangka akan bertembung tiga penjuru di banyak tempat dengan BN dan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sementara itu, berkaitan calon-calonnya untuk pilihan raya umum depan, Ahmad berkata muka-muka lama tidak semestinya dikekalkan kali ini.

"Senarai calon berdasarkan kajian awal, kita telah hantar kepada PAS pusat, mungkin ada perubahan-perubahan.

"Tidak semestinya (kekal muka lama), " katanya.

Lihat Komen
ADS