Paling Popular
Terkini

Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali dengan nama Papagomo, mendakwa dirinya telah mendaftarkan cap dagang nama Invoke Solutions, nama pusat penyelidikan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Wan Muhammad Azri berkata memandangkan beliau telah mendaftarkan nama dan logo itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Rafizi sekarang mesti berhenti daripada menggunakan nama Invoke.

“Saya beri amaran kepada Rafizi agar berhenti guna logo dan nama Invoke.

“Jika anda buat semakan, Invoke (sudah) didaftarkan di bawah nama saya.

“Ini hak milik saya bukan Rafizi. Henti guna nama Invoke sebelum saya ambil tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Muhammad Azri walau bagaimanapun enggan berkongsi dokumen berkaitan dengan wartawan, tetapi dokumen yang dipegangnya mendedahkan resit MyIPO untuk pendaftaran Invoke Solutions bertarikh 10 Oktober lalu.

Kertas di belakang resit itu penerimaan itu mempunyai pelbagai versi logo Invoke dan juga mempunyai cop bertarikh 10 Oktober.

Wan Muhammad mendedahkan bahawa beliau telah mendaftarkan sebuah entiti dengan nama "Invoke Solutions" tanpa Sdn Bhd dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Beliau berkata Invoke Solutions didaftarkan untuk membuka sebuah akaun bank yang mana beliau merancang untuk mengumpul dana awam bagi membayar pampasan terhadap kes mahkamah di mana beliau tewas.

Wan Muhammad berkata beliau membuat keputusan untuk mendaftarkan cap dagang Invoke Solutions apabila mendapati Rafizi tidak melakukannya.

Beliau bersedia untuk berdepan sebarang cabaran undang-undang daripada Rafizi mengenai perkara itu.

“Siapa cerdik, siapa cekap dia menang la," kata blogger itu.

Rafizi ketika dihubungi Malaysiakini, berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya sebelum mengulas.

Rafizi melancarkan Invoke Solutions pada September tahun lalu bagi menjalankan kajian dan tinjauan serta kerja-kerja sukarela.

Lihat Komen
ADS