Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Semoga Yusuf Azmi 'setabah Nabi Yusuf'
Diterbitkan:  Oct 25, 2017 9:47 PM
Dikemaskini: 2:08 PM

Pemuda PAS menawarkan khidmat guaman kepada dua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi dan Ali Salimin, yang dihadapkan ke mahkamah semalam atas dakwaan menceroboh syarikat pajakan kenderaan.

Ketua pemudanya Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia sebagai tanda solidariti dan sokongan PAS terhadap usaha mereka "menggerakkan amar makruf nahi mungkar".

"Tidak ramai yang sabar dan berani untuk berhikmah terhadap kezaliman dan penyelewengan. Tetapi Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi dan rakannya membuktikan sebaliknya.

"Kami percaya tindakan mengheret beliau dengan dakwaan Kanun Keseksaan lantaran tergugatnya para 'mustakbirin' yang kepanasan terhadap isu yang dibangkitkan. Mereka mahu selesa bermaharajalela dengan kegiatan haram," katanya dalam kenyataan.

Menyifatkannya sebagai lumrah perjuangan, Muhammad Khalil menggesa Yusuf agat terus konsisten dalam perjuangan.

"Kami menyeru beliau terus cekal setabah Nabi Yusuf. Semoga nama menghiasi dirinya membawa inspirasi perjuangan Nabi Allah yang lebih hebat diuji dalam hidup dan perjuangannya," katanya lagi.

Yusuf dan Ali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang semalam untuk didakwa atas pertuduhan menceroboh dan perbuatan khianat Seksyen 427 dan 447 Kanun Keseksaan.

Mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 8 pagi hari yang sama bagi membantu siasatan kes membabitkan kedai pajak kereta.

Julai lalu, siri rakaman video yang menunjukkan tindakan Yusuf dan aktivis PPIM yang dikatakan membantu sejumlah individu mendapatkan semula kereta mereka daripada syarikat pajakan kenderaan, tersebar di media sosial.

Rakaman itu memaparkan Yusuf dan aktivis lain berdepan pekerja syarikat dan bertindak memecahkan mangga kunci pagar stor syarikat dan merobohkan pagar premis.

NGO itu dilaporkan berjaya mendapatkan semula 60 kenderaan yang dipajak kepada syarikat itu.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil menggesa kerajaan dan pihak berkuasa agar tidak tunduk kepada mana-mana pihak dan membela aktivis seperti Yusuf.

"Kami percaya Yusuf dan rakannya sedang difitnah atau diperangkap, namun yakin pihak berkuasa bertindak profesional melaksanakan proses undang-undang.

"Kami amat berharap tiada sebarang motif politik di sebalik pertuduhan ke atas mereka," katanya lagi.

Muhammad Khalil sebelum ini menobatkan Yusuf selaku 'ikon anak muda', dan mengaggap PAS dan PPIM mempunyai matlamat sama membawa perubahan kepada negara, walaupun dengan cara berbeza.


 

Lihat Komen
ADS