Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jualan pasar tani di Perak Jan-Sept cecah RM22 juta
Diterbitkan:  Oct 26, 2017 7:04 AM
Dikemaskini: 11:07 PM

Nilai jualan di pasar tani di seluruh Perak mencecah RM22 juta bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding RM19.8 juta dalam tempoh sama tahun lepas, kata Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak Basri Jasmo.

Beliau berkata pihaknya yakin sasaran jualan sebanyak RM30 juta pada tahun ini dapat dicapai berdasarkan beberapa faktor termasuk peningkatan jumlah pembeli di setiap pasar tani.

“Peningkatan jualan pada tahun ini turut disebabkan harga yang ditawarkan di setiap pasar tani berpatutan dengan potongan harga antara lima dan 20 peratus berbanding harga pasaran biasa selain konsep yang diperkenalkan seperti My Best Buy (MBB),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pelancaran Jualan Istimewa @ Pasar Tani NBOS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut sempena program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Manjung semalam.

Majlis itu dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri Datuk Zulkifly Harun.

Zulkifly dalam ucapannya mencadangkan FAMA memperluaskan kerjasama dengan setiap Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menambah kuantiti barangan untuk jualan murah.

"Sebagai contoh, semasa jualan MBB, setiap jenis ikan yang disediakan sekitar 80 kg. Oleh itu, apabila ada usaha sama, mungkin ADUN dapat membantu menyumbang agar kuantitinya bertambah kepada 200 kg supaya lebih ramai rakyat mendapat faedah," katanya.

Terdapat 32 pasar tani di seluruh Perak termasuk yang baru dibuka pada tahun ini antaranya di Tapah dan Pengkalan Hulu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS