Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengecam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana mendakwa bahawa ringgit menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang sesetengah negara lain.

Pua berkata Najib harus diingatkan bahawa ringgit bernilai RM3.58 berbanding dolar Amerika Syarikat apabila beliau menjadi perdana menteri pada 9 April 2009.

Sehingga hari ini, ringgit merudum kepada RM4.24 berbanding dolar, iaitu kejatuhan 18.4 peratus, katanya.

"Malah, sejak pilihan raya umum 2013, ringgit turun dengan begitu ketara setiap tahun.

"Pada 2014, ringgit merosot 6.3 peratus daripada RM3.28 pada 1 Januari menjadi RM3.50 berbanding dolar pada 31 Disember," kata Pua dalam satu kenyataan media hari ini.

Permulaan tahun 2015 menyaksikan ringgit mencecah paras terendah dalam tempoh lima tahun berikutan kejatuhan harga minyak.

Walaupun ketika itu, Najib berjanji bahawa nilai ringgit akan bangkit semula, penurunan berterusan tetap berlaku sepanjang 2015 dan 2016, kata Pua.

"Masalahnya, jika setiap mata wang lain menurun pada kadar sama berbanding dolar, kita tidak akan terasa begitu teruk.

"Apa yang sangat mengecewakan adalah prestasi ringgit paling teruk di kalangan semua mata wang serantau utama sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Ringgit begitu ketara merosot berbanding dolar Hong Kong dan Singapura, baht Thai, rupiah Indonesia, yuan Cina dan banyak lagi,” katanya.

[Baca berita penuh]