Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelarian Rohingya di Bangladesh cecah 600,000 orang

Jumlah pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh sejak 25 Ogos telah mencecah 604,000, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

"Pelarian terbabit telah mencari tempat perlindungan di Bangladesh sejak meletusnya keganasan di Myanmar pada 25 Ogos," kata timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq, pada taklimat berita harian, memetik kenyataan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Lebih separuh daripada ketibaan baharu bagi mengelak keganasan di negeri Rakhine, Myanmar kini tinggal di kem pelarian Kutupalong yang diperluas, merangkumi beberapa penempatan sementara dan tanah yang diperuntuk oleh kerajaan, katanya.

"Hampir 570,000 telah menerima bantuan makanan manakala hampir 310,000 orang menerima penjagaan kesihatan," kata Haq, sambil menambah bahawa terdapat kebimbangan mengenai sanitasi memandangkan kurang satu perempat daripada kem pelarian yang dihuni pelarian mempunyai akses kepada air bersih.

Sementara itu, satu persidangan kemanusiaan yang disokong PBB pada Isnin berjaya mengumpul dana lebih US$344 juta bagi membiayai program bantuan untuk pelarian Rohingya.

Penghijrahan beramai-ramai itu terus berlaku, menjadikan krisis tersebut sebagai kecemasan pelarian paling pesat berkembang di dunia pada masa ini.

Sejak krisis itu berlaku, agensi-agensi PBB telah meningkatkan usaha-usaha bantuan, termasuk menjalankan satu kempen imunisasi besar-besaran yang memberikan suntikan kepada lebih 700,000 orang untuk mencegah wabak taun serta menyediakan bantuan makanan kepada ratusan ribu pelarian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS