DAP: Kit Siang, Guan Eng layak tanding pemilihan semula CEC
Tidak ada keperluan bagi pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang dan setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng untuk tidak mengambil bahagian dalam pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC).
"Ini adalah negara bebas, mereka boleh kata apa sahaja yang mereka mahu, tetapi bagi kami, kedua-duanya layak bertanding dalam pemilihan CEC," kata setiausaha penganjur DAP Anthony Loke pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu hari ini.
Loke mengulas dakwaan yang dibuat oleh bekas ahli DAP yang mahu Guan Eng dan Kit Siang tidak mengambil bahagian dalam pemilihan semula yang dijadualkan pada 12 November ini.
“Dalam kongres biasa, memang dalam perlembagaan memerlukan 10 minggu notis dihantar tetapi keadaan ni bukan ikut kongres biasa tapi ikut kongres khas.
“Ini dibenarkan dalam perlembagaan parti, ada peruntukan yang benarkan CEC dilakukan melalui kongres khas.
“Notis 14 hari ni diminta pihak ROS (pendaftar pertubuhan), ia ditetapkan ROS. Kalau seorang dua (ahli) kata kongres khas tidak patuh perlembagaan, saya mintak mereka rujuk ROS,” katanya.
Bekas pengerusi sebuah cawangan DAP Pulau Pinang G Asoghan mendesak Guan Eng untuk melepaskan jawatannya memandangkan pemilihan CEC 2012 itu diisytiharkan tidak sah oleh ROS.

