Selepas kematian dua anggota tentera laut di Sitiawan, Perak, bulan lalu dipercayai akibat penderaan, kerajaan akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan latihan fizikal.

"Kita akan kukuhkan lagi dari segi pemantauan.

“Maknanya, pegawai bertanggungjawab mesti buat lawatan lebih kerap untuk melihat apa berlaku di sana (bilik tahanan) dan selain itu pematuhan tentang SOP.

“Saya rasa (insiden sebelum) ini berlaku kerana pelanggaran SOP," kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum, sambil menambah punca sebenar masih disiasat.

Beliau bagaimanapun berkata setakat ini berpuas hati dengan SOP sedia ada dan apa yang berlaku disebabkan masalah individu semata-mata.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Annuar Nasarah yang bertanyakan mengenai bentuk penyelarasan SOP ketika menjalani latihan di bilik Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi.

Johari menjelaskan, dalam tragedi itu, bilik tahanan memang dipantau tetapi terdapat titik buta daripada kamera litar tertutup (CCTV).

“Kita ada banyak CCTV tapi (insiden) ini adalah faktor manusia," katanya.

Dalam kejadian 29 September lalu, Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailatuiman meninggal dunia ketika menjalani latihan semasa ditahan di bilik tahanan unit berkenaan.

Kematian mereka dipercayai akibat didera, berdasarkan laporan bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Seorang anggota tentera laut didakwa membunuh manakala dua lagi didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas kedua-dua mangsa.