Ketika seorang peguam kanan mewakili Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhujah bahawa menteri besar Selangor itu memerlukan laporan 1MDB yang telah diaudit untuk menjelaskan perkara itu kepada pengundinya, peguam kerajaan itu berkata Azmin tidak mempunyai lokus standi (kedudukan perundangan) untuk memohon dokumen berkenaan.

Ini berlaku di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini apabila merit Azmin memulakan semakan kehakiman untuk mendapatkan laporan 1MDB yang telah diaudit dikeluarkan dari Akta Rahsia Rasmi (OSA) dibicarakan.

Peguam Azmin, Tommy Thomas memberitahu mahkamah bahawa tidak pernah ada laporan yang telah diaudit oleh ketua audit negara tidak dibenarkan didedahkan kepada orang ramai.

"Sejak Merdeka, semua laporan yang diaudit oleh ketua audit negara telah didedahkan kepada umum dan hanya kali ini, mengenai 1MDB, maklumat itu tidak dapat didedahkan," katanya.

Tommy berkata laporan 1MDB yang diaudit dan diletakkan di bawah OSA adalah ultra vires atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana Artikel 107 menyatakan bahawa apa jua laporan oleh ketua audit negara mesti dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

"Dengan meletakkan laporan itu mengikut OSA, adalah ultra vires dengan Perlembagaan kerana apa-apa laporan yang diaudit perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya.

Mengulas fakta kes itu, beliau berkata tidak ada pertikaian bahawa AS$681 juta telah disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sebanyak RM42 juta lagi dari anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Tommy berkata Azmin, sebagai ahli parlimen, mempunyai hak untuk mengetahui memandangkan 1MDB ditubuhkan dengan menggunakan RM1 juta wang pembayar cukai, dan oleh itu, beliau harus bertanggungjawab kepada orang ramai.

Beliau juga berkata, walaupun dokumen itu diklasifikasikan di bawah OSA, namun ia boleh didapati dalam talian di laman web Sarawak Report sejak tahun lalu.

[Baca berita penuh]