Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayi 9 bulan rosak paru-paru akibat asap rokok
Diterbitkan:  Oct 26, 2017 4:44 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Seorang bayi sembilan bulan di Batu Pahat dilapor menderita kerosakan paru-paru dan terpaksa dikuarantin di rumah sehingga empat tahun akibat asap rokok.

Nur Raisha Aufa Mohd Najib, yang disahkan menghidap jangkitan kuman di paru-paru dan darah, juga diarahkan tidak berada di luar rumah atau kawasan orang ramai kerana mempunyai paru-paru yang lemah dan terdedah pada jangkitan.

Ibunya Nur Farahani Hamdan, 25, berkata, bayinya dikesan sukar bernafas pada Aidilfitri lalu selepas demam panas dan selesema dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, lapor BH Online.

"Alhamdulillah Asha pulih selepas dirawat di ICU.

"Namun Ogos lalu, keadaan Asha kembali buruk selepas demam dan selsema sehingga terpaksa dimasukkan ke ICU HSNI selama seminggu dan pelbagai ujian dilakukan bagi mengesan keadaan paru-parunya yang lemah akibat jangkitan, malah pakar turut mengesan jangkitan kuman pada darahnya.

"Selepas menjalani pelbagai ujian termasuk analisis darahnya, pakar menyatakan punca paru-paru Asha lemah dan sering terkena jangkitan kuman sehingga tidak boleh bernafas adalah disebabkan asap rokok sehingga doktor mengeluarkan arahan supaya tidak lagi dibawa keluar rumah dan di tempat orang ramai sehingga usianya mencecah empat tahun,” beliau dipetik sebagai berkata.

Pakar dilapor mengarahkan Asha diberi empat vaksin khas untuk paru-paru, batuk, demam dan selesema di hospital swasta kerana hospital kerajaan tiada bekalan.

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga tidak mampu kerana beliau tidak bekerja dan suami hanya berkhidmat sebagai pekerja am.

Farahani berkata, jika bayinya dijangkiti kuman lagi selepas ini, doktor akan menebuk paru-parunya dan bayi itu perlu bergantung kepada alat pernafasan khas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS