Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenayah kekerasan dan harta benda meningkat di Kelantan

Kes jenayah kekerasan dan harta benda meningkat di Kelantan bermula Januari hingga 25 Oktober tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad.

Din berkata, jenayah kekerasan seperti samun, pukul dan ragut meningkat kepada 502 kes pada tempoh tersebut bagi tahun ini berbanding 431 kes pada tempoh sama pada tahun lepas.

“Bagi jenayah harta benda seperti pecah rumah dan curi kenderaan pula, ia meningkat kepada 3,205 kes berbanding 3,176 kes pada tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua aktiviti tersebut sering berlaku di kawasan yang sering berlaku kejadian jenayah dan langkah paling efektif adalah menangkap mereka sebaik melakukan aktiviti berkenaan.

“Kita tidak mahu mereka ini hanya dapat ditahan selepas mempunyai beberapa rekod jenayah, justeru kerjasama daripada masyarakat setempat amat diperlukan bagi membendung aktiviti ini daripada terus berleluasa.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah kerana polis melindungi keselamatan pemberi maklumat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata polis Kelantan berjaya menahan empat individu disyaki pengedar dadah serta merampas dadah dianggarkan bernilai RM9,172 masing-masing di Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai pada Selasa dan semalam.

Din berkata kesemua suspek berusia antara 36 hingga 42 tahun ditahan antara 6 petang hingga 9.50 malam.

“Kesemua mereka direman antara dua dan tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

 

-Bernama


 

Lihat Komen
ADS