Indonesia: Kilang mercun terbakar, 32 pekerja maut
GLOBAL Sebuah kilang mercun di Tangerang, sebuah bandar di pinggir ibu kota Indonesia, terbakar pada Khamis menyebabkan 32 pekerja maut manakala 46 lagi cedera, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai bomba.
Seorang pegawai bomba di lokasi kejadian, yang hanya dikenali sebagai Hanafi ketika dihubungi Xinhua berkata, maklumat diperolehinya jumlah mangsa maut adalah seramai 30 orang.
Namun, beberapa jam kemudian, dua lagi mayat pekerja ditemui, menurut anggota penyelamat Doni Pratama.
"Sekarang anggota penyelamat masih meneruskan operasi mencari untuk mengenal pasti sama ada terdapat mangsa lain," katanya kepada Xinhua.
Pratama dan beberapa anggota dari Jakarta dihantar ke lokasi kejadian, bagi membantu usaha mencari dan menyelamat oleh anggota penyelamat tempatan.
Hanafi berkata, kejadian dikatakan berlaku akibat litar pintas dan bahan asas untuk menghasilkan mercun tidak disimpan dengan sempurna.
Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke beberapa hospital berhampiran untuk rawatan, katanya.
- Bernama

