Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 suspek lelaki tukar penampilan selepas Kim Chol diracun - polis
Diterbitkan:  Oct 26, 2017 6:31 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Dua daripada empat lelaki yang masih bebas dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, dilihat berada di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan menukar penampilan mereka beberapa minit selepas mangsa diserang dengan racun VX oleh dua wanita.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini, segala pergerakan mereka dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) di klia2 pada 13 Februari 2017.

"Seorang suspek "Mr Y" memakai topi hitam, baju berwarna kelabu dan beg sandang sebelum insiden serangan (terhadap Kim Chol), bagaimanapun menukar bajunya kepada baju berwarna hitam, tidak memakai topi dan tidak membawa beg sandang selepas insiden serangan berlaku.

"Dia masuk ke dalam tandas Aras 2 pada pukul 9.13 pagi dan selepas 10 minit, dia keluar dari tandas, di mana dia dilihat tidak memakai beg, topi dan baju pun dia tukar. Tapi kasut sama, iaitu berwarna hitam," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.

Wan Azirul Nizam yang merupakan saksi ke-9 berkata, beliau terpaksa melakukan pemerhatian secara berulang kali terhadap kesemua rakaman CCTV untuk membuat pengecaman dari segi bentuk badan, pergerakan dan pakaian yang digunakan suspek.

"Walaupun mereka menukar pakaian, namun mereka tidak menukar kasut. Pada pendapat saya, perbuatan mereka mengelirukan kerana jika tiada sebarang agenda yang nak disembunyikan, kenapa mereka perlu menukar penampilan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan pada hari ke-11 perbicaraan kes Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan klia2 pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Menceritakan mengenai pergerakan suspek Mr Chang pula, Wan Azirul Nizam berkata hasil rakaman CCTV mendapati lelaki itu memakai baju berwarna kelabu, topi berwarna hitam dan memegang sebuah beg plastik putih ketika tiba di klia2 pada pukul 7.58 pagi.

"Namun, pada pukul 9 pagi, Mr Chang masuk ke dalam tandas di Aras 3 dan dia keluar dari tandas pada pukul 9.12 pagi dengan menukar bajunya kepada baju-T berwarna merah, tidak lagi memakai topi berwarna hitam dan bungkusan beg plastik yang dibawanya pula berwarna oren.

"Tetapi Mr Chang masih memakai kasut hitam yang mempunyai jalur putih yang dipakai sebelum insiden serangan itu berlaku. Sebelum dia masuk ke dalam tandas, dia ada misai dan jambang. Tetapi masa keluar, wajahnya ‘shave clean’, tiada misai dan jambang," katanya.

Mengenai pergerakan seorang lagi suspek Hanamori, saksi itu berkata hasil siasatannya mendapati lelaki itu berperanan sebagai perancang utama kejadian serangan terhadap Kim Chol.

"Dia kelihatan terlebih dahulu tiba di tempat kejadian, di mana dia kelihatan berjalan bersama-sama dengan seorang lagi suspek bernama James sebelum dia dilihat didatangi oleh Mr Y dan selepas kejadian serangan itu berlaku Hanamori masih berada di sekitar kawasan green zon dalam keadaan seperti untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar sehinggalah dia beredar dari klia2 bersama-sama Mr Y, Mr Chang dengan menaiki kereta Naza Ria”.

Mengenai James, saksi itu berkata, rakaman CCTV mendapati lelaki itu berkelihatan menghala ke Hotel Sama-Sama selepas kejadian serangan itu dan dilihat masuk ke dalam sebuah bilik hotel dan kemudian keluar sebelum menghala ke Balai Pelepasan KLIA.

Tambah beliau, keempat-empat suspek berkenaan dikesan berada di Balai Pelepasan KLIA, selepas insiden serangan itu berlaku.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 6 November.

- Bernama

Lihat Komen
ADS