Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amuk di Sabah, seorang wanita ditemui mati lemas

Seorang wanita yang hilang dipercayai terjun ke sungai ketika melarikan diri dalam kejadian amuk yang menyebabkan seorang remaja lelaki maut ditetak di sebuah rumah di Kampung Lubok, Kiulu, di Tuaran semalam, ditemui mati lemas petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan, berkata mayat Hanive Ingue, 23, ditemui oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan dibantu penduduk kampung kira-kira 3.05 petang tadi, satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Menurut kenyataan itu JBPM Sabah menerima panggilan mengenai orang hilang itu pukul 7 pagi tadi dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sejurus mangsa ditemui.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Dzulbaharin Ismail, ketika dihubungi mengesahkan bahawa mangsa yang ditemui mati lemas di sungai berkenaan adalah seorang daripada individu yang melarikan diri selepas diserang suspek, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

Dalam kejadian 2.20 petang semalam, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut akibat cedera parah di leher dipercayai ditetak dengan parang oleh rakan sekerja bapanya.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan bapa mangsa.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 66 tahun yang juga suspek utama dalam kejadian itu dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS