Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Zam si tua yang meroyan'
Diterbitkan:  Oct 26, 2017 10:40 PM
Dikemaskini: 3:58 PM

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Rafii menyifatkan tokoh media Tan Sri Zainudin Maidin sebagai seorang 'tua yang meroyan'.

Kenyataan itu dibuat Razlan susulan penerbitan buku terbaru Zam yang bertajuk 'Pergi mampuslah Umno: Benci atau kecewa'.

"Meroyan adalah perkataan penyakit ibu mengandung yang tak pandai menjaga pantang larang semasa berpantang.

"Penyakit kepada Zam hari ini akibat daripada pantang yang tidak sempurna semasa beliau menjadi menteri penerangan.

"Kejutan budaya yang beliau terima apabila menjadi menteri telah membawa kepada kesakitan sehingga ke hari ini," kata Razlan dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini.

"Justeru itu beliau gila untuk mencari publisiti dan terus menerus menulis dengan niat mendapat perhatian.

"Beliau pernah menyatakan mahu berhenti menulis dan ramai yang menyokong beliau untuk berhenti.

"Tiada yang memujuk walaupun itu yang beliau kehendaki," katanya.

Menurut Razlan penggunaan perkataan 'mampus' oleh Zam menunjukkan kegagalan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu dalam kehidupan.

"Kalau Umno bermasalah hari ini, ianya datang daripada pemimpin yang terdahulu.

"Manusia gagal seperti Zam tidak layak bercerita soal perjuangan Umno yang terus menerus menempa kejayaan," kata Razlan lagi sambil menasihatkan bekas menteri itu agar berhenti menulis dan bermunasabah diri.

Buku terbitan Zi Publication Sdn Berhad itu antaranya mengulas isu-isu berkaitan kelangsungan politik Umno.

Ia memaparkan hiasan kulit buku yang menggambarkan seorang individu yang kelihatan sebagai Umno sedang tenggelam di lautan.


 

Lihat Komen
ADS