Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan batal keputusan benar semakan kehakiman
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 5:34 AM
Dikemaskini: 11:06 PM

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan empat pengundi di Johor memulakan semakan kehakiman bagi mencabar penerbitan notis kedua oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi cadangan persempadanan semula di negeri itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan rayuan SPR.

Mohd Zawawi, yang mempengerusikan panel itu memerintahkan rayuan itu diteruskan walaupun dimaklumkan oleh peguam mewakili pengundi berkenaan, Louis Liaw bahawa beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik semakan kehakiman mereka di Mahkamah Tinggi Johor.

Mahkamah turut menolak permohonan Liaw bagi penangguhan pendengaran hujahan.

Peguam itu memberitahu mahkamah beliau hanya menerima salinan notis penghentian itu semalam dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa notis penghentian saman itu akan diserahkan ke Mahakmah Tinggi Johor.

Liaw berkata ia adalah akademik untuk meneruskan rayuan itu kerana semakan kehakiman telah dihentikan.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh memaklumkan mahkamah beliau diarah meneruskan rayuan itu di mahkamah kerana notis penghentian semakan kehakiman itu masih belum difailkan lagi.

Mohd Zawawi berkata oleh kerana notis penghentian itu masih belum difailkan lagi, oleh itu tiada apa-apa di hadapan mahkamah dan mahkamah boleh meneruskan rayuan itu.

Amarjeet Singh dan Liaw kemudiannya memaklumkan kepada mahakmah bahawa mereka akan bergantung pada hujahan bertulis mereka tanpa menyampaikan hujahan lisan.

Mohd Zawawi, dalam keputusannya berkata selepas membaca hujahan bertulis berkenaan, mahkamah membenarkan rayuan SPR dan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi tanpa mengeluarkan perintah berhubung kos.

Pada 13 Julai tahun ini, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memberi kebenarakan kepada empat pengundi - Thomas Fann Peng Thong, Ng Siam Luang, Ang Yien Meei danChong Mun Ying - untuk memulakan semakan kehakiman mereka bagi memohon pengisytiharan bahawa cadangan disyorkan SPR bagi kerusi persekutuan dan negeri di Johor adalah melanggar perlembagaan.

Mereka menamakan SPR, pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan setiausaha Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai responden dalam permohonan itu.

Fann ialah pengundi di kawasan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Rinting. Tiga lagi pengundi ialah daripada Parlimen Gelang Patah dan DUN Skudai.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan cadangan disyorkan itu, perintah mandamus untuk menghalang SPR daripada menerbitkan cadangan baharu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan menangguhkan semua prosiding bagi cadangan disyorkan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS