Siling kanopi, palang tol tercabut akibat ribut
Beberapa siling kanopi dan palang di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini tertanggal dan mengalami kerosakan akibat kejadian ribut petir petang semalam.
Bagaimanapun, jurucakap Plus Malaysia Berhad ketika dihubungi Bernama, berkata tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian kira-kira 5.50 petang itu.
Katanya akibat kejadian, empat lorong arah utara di plaza tol berkenaan terpaksa ditutup sehingga menyebabkan kesesakan.
Setakat 7 malam tadi, kerja-kerja pembersihan masih dijalankan namun dua daripada lorong yang ditutup telah dibuka semula.
Lori tangki bomba terbalik
Sebuah lori tangki Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau terbalik di bulatan Institut Latihan Industri Pedas dekat Rembau, berpunca daripada tayar hadapan yang pecah.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata dua anggota bomba yang menaiki kenderaan itu, hanya mengalami cedera ringan.
"Dalam kejadian pukul 6.50 petang tadi, lori tangki yang membawa muatan 20,000 liter air itu terbalik kerana tayar bahagian hadapan sebelah kiri lori berkenaan telah pecah ketika membuat pusingan di bulatan.
Kedua-dua anggota iaitu Mohd Harizaq Mohamed Zawawi dan Mohd Aizat Anuar masing-masing dalam lingkungan umur 30-an selamat dan hanya mengalami cedera ringan, mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan susulan," katanya kepada Bernama semalam.
Ahmad Mukhlis berkata lori tangki tersebut baru selesai mengisi minyak serta air dan dalam perjalanan untuk balik ke BBDP Rembau sebelum terlibat dalam kemalangan.
Runtuhan konkrit
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengarahkan sebuah tapak pembinaan rumah di Meru Raya, di Ipoh ditutup sementara waktu berikutan berlaku kejadian runtuhan konkrit bertetulang sehingga mencederakan seorang pekerja warga Bangladesh, semalam.
Ketua Zon 1 JBPM Perak, Mohd Khairul Jamil berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari itu, tiang konkrit bahagian atas bangunan rumah dua tingkat itu terjatuh dan mengenai pekerja berkenaan, mengakibatkan dia cedera ringan di kaki dan tangan akibat tersepit di bawah runtuhan.
"Ketika tiba di tempat kejadian, pihak kami mendapati runtuhan hanya melibatkan konkrit bertetulang. Seorang mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Ipoh semalam.
Beliau berkata sebagai langkah susulan, JBPM Perak akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri dan agensi berkaitan untuk melihat semula kes tersebut dengan lebih terperinci.
“Pada masa sama pihak bomba akan membuat pemantauan dan perbincangan dengan agensi terlibat untuk memastikan kawasan ini selamat sebelum diberi kebenaran untuk bekerja semula.
Tempoh penutupan itu bergantung kepada keputusan yang dilakukan hasil daripada perbincangan agensi terlibat,” katanya.
- Bernama

