Skuad remaja negara akhirnya catat kemenangan pertama
SUKAN Malaysia akhirnya berjaya mencatat kemenangan sulung dalam saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2017 selepas membelasah pendatang baharu, Amerika Syarikat, 18-0 di Stadium Hoki Taman Daya di Johor Bahru semalam.
Selepas gagal memungut mata penuh dalam tiga perlawanan sebelum ini, skuad remaja negara di bawah bimbingan Wallace Tan akhirnya mendapat sentuhan untuk merobek gawang Amerika Syarikat dengan 13 gol menerusi jaringan padang dan lima melalui penyudahan pukulan sudut penalti.
Kejayaan tersebut menyaksikan skuad negara meraih tiga mata penuh untuk mengekalkan kedudukan di tempat keempat daripada enam pasukan yang bertanding pada kejohanan bawah 21 tahun itu.
Sebelum ini, Malaysia kalah 1-0 kepada Great Britain pada perlawanan pertama, Ahad lepas, diikuti kalah 2-1 kepada India pada hari berikutnya sebelum mengutip satu mata dengan seri 1-1 menentang Jepun kelmarin.
Pada perlawanan menentang Amerika Syarikat, ketua pasukan negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi muncul penjaring terbanyak dengan lima gol apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat, kelima, 21’, 22’ dan minit ke-59.
Mohammad Akhimullah Anuar Esook muncul penjaring kedua terbanyak skuad negara dengan empat gol bermula pada minit keenam, 23’, 41’ dan minit ke-56.
Muhammad Firdaus Omar pula menjaringkan hatrik pada minit ke-18, 32’dan minit ke-54 diikuti jaringan sama oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-33, 50’, dan minit ke-55.
Tiga lagi gol skuad negara disumbangkan masing-masing oleh Muhammad Hafiizhuddin Zaidi pada minit ke-17, Luqman Nul Haqim Ahmad Shukran (41) dan Muhammad Shafiq Hassan pada minit ke-58.
Amerika Syarikat tercorot dalam carta kedudukan selepas tewas dalam kesemua empat perlawanan yang dilalui sebelum melengkapkan saingan liga sepusingan dengan menentang Jepun, Sabtu ini.
Sementara itu, Wallace berkata beliau gembira dengan aksi konsisten anak buahnya sepanjang perlawanan terbabit dan berharap ia mampu meningkatkan keyakinan mereka menjelang pertemuan dengan juara bertahan, Australia, Sabtu.
“Pada aksi kali ini, kita dapat menyempurnakan pukul sudut penalti dengan cemerlang berbanding perlawanan terdahulu, sekali gus menyiapkan pasukan untuk menentang Australia,” katanya selepas perlawanan itu.
Sementara itu, pada perlawanan petang semalam, India, selaku juara Piala Dunia Remaja, gagal mempertahankan rekod tanpa kalah apabila tewas 4-3 kepada Australia.
Australia memperoleh kesemua gol menerusi pukulan sudut penalti dengan Nathan Ephraums muncul wira pasukan dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-49.
Australia membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Joel Rintala sebelum India balas dengan dua jaringan pukulan sudut penalti oleh Sanjay pada minit kesembilan dan Dilpreet Singh pada minit ke-30.
Enam minit kemudian Australia menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukan, Coby Green dan Johnathan Brether meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-45.
Bagaimanapun, dua minit kemudian India menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang oleh Dilpreet.
Dalam perlawanan terakhir malam tadi, Great Britain mengekalkan rekod bersih dengan mengalahkan Jepun 3-1 untuk menghuni tangga teratas carta kedudukan dengan maksimum 12 mata.
Great Britain akan melengkapkan saingan peringkat awal dengan menentang India, Sabtu ini.
- Bernama

