Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Nazri patut nasihat Zahid terus cari Jho Low'
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 12:22 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Datuk Seri Nazri Aziz wajar menasihati kerajaan untuk mengarahkan polis terus memburu Jho Low ekoran terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB, kata seorang pemimpin pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Kata Faiz Fadzil langkah itu perlu memandangkan Nazri ialah seorang menteri dan pada masa sama bekas pengamal undang-undang.

Atas dasar itu kata Faiz menteri terbabit mesti bertindak mempertahankan integriti dan menegakkan keluhuran undang-undang.

"Nazri seharusnya menasihati Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengarahkan polis memburu Jho Low yang mencuri lebih RM20 bilion wang negara.

"Nazri - atau mana-mana anggota kabinet Malaysia - tidak seharusnya membiarkan Jho Low terus bebas sedangkan skandal 1MDB ini dianggap punca utama kemerosotan ekonomi negara hari ini dan mencalar maruah Malaysia sehingga digelar kleptokrasi," kata timbalan ketua Pemuda AMANAH itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Nazri sebagai berkata, Putrajaya hanya boleh bertindak ke atas ahli perniagaan kontroversi itu jika dia melakukan kesalahan mengikut undang-undang negara.

"Jadi saya juga ingin tahu apa kesalahan yang dilakukan beliau di Malaysia," kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu.

Pernah didenda Bank Negara

Nazri ditanya pandangannya mengenai pendirian kerajaan untuk tidak meneruskan siasatan ke atas Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Ia diumumkan oleh Zahid yang juga menteri dalam negeri.

Menurut kenyataan dikeluarkan Zahid, kerajaan berpendapat "tiada kes untuk disabitkan" ke atas Low.

Namun ia menarik perhatian Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin yang mempertikaikan kenyataan itu yang dibuat seolah-olah Low sudah pernah ditangkap, disiasat dan dibicarakan di mahkamah.

Justeru kata Hanipa tiada sebab untuk kerajaan memutuskan tiada kes ke atas Low ketika dia tidak pernah disiasat atau di dakwa di mahkamah.

Kata Faiz kenyataan Nazri (gambar) semalam merupakan pengakuan menteri itu secara tidak langsung bahawa Low telah menyeleweng dana 1MDB seperti didakwa Jabatan Keadilan (DOJ) AS

"Namun begitu, kenyataan bahawa Low tidak melakukan kesalahan di dalam negara menunjukkan Nazri tidak faham pendedahan fakta dalam saman DOJ yang difailkan pada 15 Jun lalu.

"Pengakuan Nazri bahawa terdapat kesalahan Low di luar negara menunjukkan beliau ada membaca saman DOJ berkenaan kerana ia satu-satunya dokumen mahkamah yang memperincikan penyelewengan wang 1MDB oleh Low dan MO1," katanya.

Jika Nazri membaca secara dengan teliti saman berkenaan kata Faiz pada perenggan 942 halaman 247, DOJ menggariskan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah undang-undang Malaysia, termasuk penipuan menurut Seksyen 415 dan 418 Kanun Keseksaan, serta pemberian rasuah menurut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

"Banyak lagi fakta menunjukkan kesalahan Low di negara ini yang boleh dikategorikan bersubahat menipu Bank Negara menurut Seksyen 418 yang dibaca bersama Seksyen 107 Kanun Keseksaan.

"Nazri pasti sedar bahawa Bank Negara mendenda 1MDB sebanyak RM115.8 juta atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

"Maka Low sebagai pemain utama penyelewengan wang 1MDB telah melakukan kesalahan di dalam negara," katanya.

Lihat Komen
ADS