Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
India tuduh Zakir sampaikan 1,500 syarahan hasutan
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 2:31 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

GLOBAL |  Agensi Keselamatan India hari ini dilaporkan mengemukakan dakwaan jenayah ke atas pendakwah Zakir Naik.

Media melaporkan Zakir, 52, didakwa menghasut pemuda di negara itu terbabit dalam kegiatan pengganas, selain memberikan ucapan-ucapan kebencian.

Saman itu - yang turut mengaitkan Zakir dengan "penghinaan" terhadap kepercayaan Hindu, Kristian dan Syiah - dikemukakan di mahkamah oleh Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) India.

Times of India melaporkan "televangelist" (penceramah yang sering muncul di TV) terbabit didakwa mengikut Akta Kegiatan Haram (Pencegahan) kerana mengetuai pertubuhan haram.

NIA juga menuduh Zakir menghasut generasi muda supaya terlibat dalam kegiatan pengganas serta menyertai pertubuhan pengganas dunia seperti IS.

"Zakir secara sengaja dan berniat jahat menghina kepercayaan Hindu, Kristian dan mazhab Muslim yang tidak sealiran dengan dengan Wahabi, dengan niat untuk mencetuskan kemarahan.

"IRF (Yayasan Penyelidikan Islam yang diketuai Zakir) serta Harmony Media digunakan untuk mengedarkan ucapan-ucapan itu dalam bentuk cakera padat, cakera video digital dan program TV," kata NIA dalam dokumen yang dikemukakan di mahkamah berkenaan.

Tuduhan itu difailkan semalam.

Dihasut ke Syria

IRF diharamkan kerajaan India sejak 2016 bersama Harmony Media sayap media pertubuhan itu.

Kedua-dua mereka dinamakan sebagai tertuduh bersama dengan Zakir untuk bersekongkol dalam hasutan kebencian antara kumpulan agama serta "mazhab tertentu" dalam Islam.

Berdasarkan kertas pertuduhan Zakir menyampaikan lebih 1,500 syarahan atau dialog kebencian di India dan negara lain sejak 1994.

"Dalam syarahan atau sesi soal jawab ini Zakir menyatakan hanya Islam agama sebenar.

"Dia juga mendakwa daripada semua kitab dalam semua agama hanya al-Quran berada dalam versi sebenar manakala yang lain tercemar.

"Zakir secara terbuka mendakwa semua nabi termasuk Musa, Isa dan Sri Krishna menyampaikan Islam," kata tuduhan itu.

Pendakwah itu juga didakwa mengkritik amalan yang dipraktikkan agama lain serta yang bukan Wahabi seperti Syiah, sufi dan Barelvi sebagai tidak Islam.

Barelvi merujuk kepada fahaman mazhab Hanafi yang didakwa bermula Bareilly, utara Uttar Pradesh di India dan dikatakan mempunyai sehingga 200 juta pengikut di Asia Selatan.

NIA memetik seseorang dinamakan sebagai Noor Mohammad untuk mengaitkan Zakir dengan IS.

Noor, kata NIA, mengaku dia dipengaruhi oleh ucapan Zakir pada 2007 dan 2008 sebelum cuba menyusup ke Syria bagi menyertai gerakan IS di negara bergolak itu.

Lihat Komen
ADS