Jabatan Standard Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan sistem piawaian Malaysian Standard (MS) ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) bagi memberi panduan dan membantu sesebuah organisasi dalam melaksanakan serta menambah baik sistem pengurusan anti-rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata sistem itu dilaksanakan sebagai piawaian pencegahan rasuah kepada semua pihak khususnya organisasi komersial dalam persediaan menghadapi cabaran pelaksanaan peruntukan Korporat Liabiliti yang kini pada peringkat cadangan pindaan Rang Undang-Undang Akta SPRM 2009.

Beliau berkata di bawah undang-undang liabiliti korporat itu, syarikat perlu bertanggungjawab jika individu berkaitan syarikat memberi rasuah bagi mendapatkan projek perniagaan untuk kelebihan pihak syarikat.

"Pada masa ini, hanya individu yang terbabit rasuah akan didakwa jika mereka didapati bersalah, manakala syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab ke atas jenayah tersebut. Pindaan ini adalah untuk memastikan apabila seorang pekerja mengambil rasuah, syarikat itu boleh didakwa.

"Pindaan ini sebenarnya akan menjadikan syarikat terbabit lebih bertanggungjawab dan ia bermulanya transformasi dalam sektor perniagaan kerana majikan akan memastikan mereka ada prosedur dan polisi mematuhi kawalan sistem pencegahan rasuah," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dan seminar MS ISO 37001 di Putrajaya hari ini.

Shamshun Baharin berkata SPRM telah mengambil inisiatif dengan memohon agar piawaian ISO 37001 ini diterima pakai sebagai Malaysia Standard bagi memperluaskan lagi penggunaan piawaian ini kepada pengguna atau organisasi di negara ini.

Katanya ini dapat memberikan keyakinan kepada pelanggan dan rakyat tentang usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan, selain menjadi ukuran kepada sesebuah organisasi dalam melaksanakan sistem pencegahan rasuah yang efektif dan proaktif dalam menangani gejala rasuah.

"Selain meningkatkan imej dan integriti organisasi yang mematuhi standard ini, tadbir urus yang berintegriti adalah penting memandangkan rasuah merupakan gejala yang mampu meruntuhkan kualiti hidup masyarakat dan daya saing negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin berkata sistem piawaian ini menyediakan keperluan dan panduan untuk mewujudkan, melaksanakan, mengekalkan dan memperbaiki sistem pengurusan antirasuah secara bebas, disepadukan dengan sistem sedia ada atau menjadi sistem pengurusan keseluruhan.

Katanya Bank Dunia telah menggangarkan bahawa lebih daripada AS$1 trilion dibayar sebagai rasuah setiap tahun yang memberikan kesan buruk kepada negara, antaranya mengikiis kestabilan politik, meningkatkan kos perniagaan dan penyumbang kepada kemiskinan.

Di peringkat global pula, ia adalah penghalang ketara kepada perdagangan antarabangsa, sementara dalam organisasi ia mempunyai kesan yang sangat negatif terhadap moral pekerja, katanya.

"Menyedari situasi ini, inisiatif bagi membangunkan Malaysian Standard telah dijalankan sejak Mac lalu dengan mengguna pakai secara terus standard antarabangsa ISO 37001.

Dengan wujudnya MS ini, diharap akan dapat membantu sektor awam, swasta dan entiti bukan berasaskan keuntungan melaksanakan langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian ke arah mencegah berlakunya jenayah rasuah dalam organisasi mereka," katanya.

Menurut Fadilah, dokumen MS ini boleh dibeli sama ada dalam bentuk salinan cetak dan salinan dalam komputer secara terus dengan Jabatan Standard Malaysia.

- Bernama