Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan PBB dapati Syria bertanggungjawab lancar serangan gas sarin
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 3:03 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

GLOBAL Tentera pimpinan Presiden Syria, Bashar al-Assad bertanggungjawab melancarkan serangan gas sarin di Khan Sheikhoun, Syria pada awal tahun ini, kata Duta Besar Amerika Syarikat (AS) Nikki Haley, lapor agensi berita China Xinhua.

"Ia berdasarkan laporan Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) dan Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM) yang dikeluarkan hari ini.

"Siasatan mendapati rejim Assad menggunakan senjata kimia terhadap lebih 100 orang awam dalam serangan di Khan Sheikhoun, Syria pada 4 April 2017," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Khamis.

Haley berkata, siasatan "JIM juga mendapati militan daesh bertanggungjawab menggunakan senjata kimia sulfur mustard dalam serangan pada 16 September 2016 di Um-Housh, Syria."

"Sekali lagi kita melihat siasatan bebas mendapati senjata kimia digunakan rejim Assad, namun masih terdapat beberapa negara cuba melindungi rejim itu," tambahnya.

Kenyataannya itu, dipercayai ditujukan kepada Rusia, yang menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan untuk memperbaharui mandat JIM untuk tempoh setahun lagi.

Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata, Moscow menentang deraf resolusi itu, kerana dikatakan mahu menunggu laporan JIM dikeluarkan terlebih dahulu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS