Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib buka pembentangan Bajet 2018 dengan sindir Dr M
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 4:14 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

BAJET 2018 | Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya menjadi sasaran pertama kritikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap pembangkang, dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun tidak menyebut namanya secara khusus, Najib ketika membuka ucapannya menempelak "orang itu" yang menurutnya menghina masyarakat Bugis.

"Sayang seribu kali sayang, dalam kita ingin membina peradaban, santun susila antara satu sama lain, sampai hati dan tergamak sungguh 'orang itu' memaki, mencera keturunan Bugis.

"Tapi tak mengapalah, apa yang penting kita wajar untuk terus berjiwa besar," katanya disambut tepukan anggota parlimen BN yang lain.

Bercakap dengan dialek Kedah, Najib berkata kebanyakan penduduk negeri itu bersikap baik dan ramah, kecuali "seorang dua yang mudah lupa diri", merujuk kepada Mahathir yang berasal dari Alor Setar.

"Kerajaan BN ini ikhlas, kerja untuk negara dan ummah. inilah bajet yang kita semua nanti-nantikan," katanya lagi yang berpakaian baju Melayu berwarna biru.

Ketika himpunan anti-kleptokrasi 14 Oktober, Mahathir dilaporkan berkata Najib mungkin berasal dari 'lanun Bugis' yang sesat ke Malaysia, dan memintanya pulang ke kampung halaman.

Namun beliau berkata kenyataan itu tidak merujuk kepada masyarakat Bugis secara keseluruhan, sebaliknya individu tertentu sahaja.

“Salah ke (cakap begitu)? Takkan orang Bugis nak kata kalangan orang Bugis tak ada penyangak, ada,” kata Mahathir dalam ucapan di majlis rapat umum di Dataran Stargate di Alor Setar 20 Oktober lalu.

Najib juga berkata kedudukan kewangan negara pada masa ini lebih kukuh berbanding pada 1997, ketika Malaysia dilanda krisis kewangan.

"Rizab antarabangsa semasa adalah pada US$101.4 bilion. Sedangkan pada 1997, ketika berlakunya kegawatan ekonomi Asia, rizab negara hanya US$21.7 bilion.

"Kalau rizab serendah US$21.7 bilion pun tidak bangkrap...apatah lagi rizab sekarang setinggi US$101.4 bilion," katanya.

Najib seperti merujuk dakwaan Pakatan Harapan sebelum ini yang negara menuju ke arah muflis di bawah pentadbiran BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS