Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi di Melaka hari ini selepas didapati bersalah menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar memutuskan hukuman itu terhadap tertuduh Kamaruzaman Mohamed Shah, 40; Sulaiman Abdul Kadir, 37; dan Farezzuwan Mohd, 29, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Kamaruzaman seorang peniaga, Sulaiman pekerja syarikat fotostat dan Farezzuwan seorang pekerja kilang bersama dua orang lagi yang masih bebas, didakwa secara bersama menculik ahli perniagaan Tan Tiang See, 46, dan mengurung lelaki berkenaan supaya wang tebusan sebanyak RM500,000 dibayar abang mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah gudang di Jalan TTC 25, Taman Perindustrian Cheng di sini dan mengurung lelaki berkenaan di sebuah rumah beralamat di Jalan Cengal 1, Taman Merdeka, Batu Berendam di Melaka pukul 6 petang, pada 14 Februari 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam menjatuhkan hukuman itu, Zulkifli berkata faktor tidak berlaku perbuatan kekejaman terhadap mangsa dan wang tebusan tidak dibayar, merupakan antara sebab mahkamah menggunakan kuasa budi bicara untuk tidak mengenakan hukuman mati terhadap tertuduh.

Mahkamah tetap memandang serius terhadap kesalahan ini dan bagi tujuan pencegahan serta menunjukkan mahkamah tidak sama sekali merestui perbuatan seperti ini, mahkamah menjatuhkan hukuman sebat 10 kali terhadap setiap tertuduh, katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Chong Joo Tian, K.A Ramu dan Mak Kah Keong.

Sebelum ini pada 23 Disember 2015, ketiga-tiga tertuduh bersama dua lagi dibebaskan di mahkamah sama selepas hakim mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah selain pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan pada Januari 2016 di Mahkamah Rayuan berjaya mengenepikan pembebasan tertuduh dan kemudian mahkamah mengarahkan mereka untuk membela diri.

- Bernama