Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BR1M tak naik untuk kali pertama
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 5:23 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

BAJET 2018 | Buat kali pertama sejak diperkenalkan pada 2012, kerajaan tidak menaikkan nilai agihan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pembayaran sehingga RM1,200 akan dikekalkan.

"BR1M tahun ini telah memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion.

"Maka bagi 2018, 7 juta penerima itu akan terus menikmati pemberian ini dengan kadar maksimum sehingga RM1,200," katanya yang juga menteri kewangan.

Berdasarkan pembayaran BR1M pada tahun ini, mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan menerima RM1,200, sementara isi rumah berpendapatan RM3,000-RM4,000 pula menerima RM900.

Golongan yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000 sebulan menerima RM450.

Skim BR1M diperkenalkan pada 2012, dengan pembayaran sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Ia bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah susulan pengurangan subsidi oleh kerajaan.

Najib juga sempat mengkritik pembangkang yang menurutnya telah membuat 'u-turn' berhubung dasar ini, selepas berungkali mengkritiknya.

"Pembangkang yang begitu negatif terhadap inisiatif ini dan menuduh sebagai 'dedak' dan 'umpan', tapi kini tanpa segan-silu membuat u-turn.

"Khabarnya kerajaan Pulau Pinang sendiri akur akan benarnya program BR1M oleh kerajaan ini," katanya.

Belanjawan alternatif Pakatan Harapan yang dibentangkan dua hari lalu juga mengekalkan pembayaran BR1M, tetapi dengan beberapa syarat tambahan misalnya penerima perlu mempunyai kerja tetap, sekurang-kurangnya selama 3 bulan sebelum pengagihan.

Lihat Komen
ADS