Najib, Zahid mohon gugur saman langgar sumpah jawatan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk menggugurkan saman yang difailkan oleh Khairuddin Abu Hassan atas dakwaan melanggar sumpah jawatan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Permohonan pengguguran saman itu didedahkan ketika kes itu dipanggil untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar K Pavani.
Najib dan Zahid juga pada Isnin lalu memfailkan untuk menangguh prosiding pembelaan melalui firma guaman Hafarizam, Wan Aisha dan Mubarak.
Ketika sesi terakhir pada 12 Okt, Pavani mengarahkan Najib dan Zahid memfailkan pembelaan ke atas saman itu sebelum 10 Nov.
Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini, pemimpin BN itu mendakwa saman Khairuddin tidak mempunyai alasan yang munasabah.
“Permohonan (saman) itu merepek dan menyalahguna proses mahkamah,” kata mereka.
Najib dan Zahid juga mempersoalkan sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa menentukan pelanggaran sumpah jawatan berdasarkan Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan selain turut mempersoal sama ada Khairuddin mempunyai lokus standi untuk memfailkan saman itu.
Hari ini, Pavani juga menolak memberikan penengguhan sementara kepada permohonan Najib dan Zahid serta menetapkan pengurusan kes di hadapan Hakim Ahmad Zaidee pada 15 Nov.
September lalu, Khairuddin dilaporkan memfailkan saman ke atas perdana menteri dan timbalannya atas dakwaan melanggar sumpah perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam mengelirukan rakyat berkenaan bagaimana US$681 million (RM2.6 billion) diperolehi.
Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu menuntut pengiktirafan mahkamah bahawa Najib dan Zahid melanggar sumpah di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan maka tidak sesuai memegang jawatan masing-masing atau apa-apa jawatan dalam kabinet.
Khairuddin mendakwa dia mempunyai lokus standi untuk memfailkan saman itu memandangkan litigasi kes berkait dengan kepentingan orang ramai.

