Najib petik pantun MP DAP perli Pulau Pinang
BAJET 2018 l Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menyentuh tanah runtuh di Tanjung Bungah dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini, dengan membacakan pantun nukilan ahli parlimen DAP Tan Seng Giaw berhubung tragedi itu.
Pantun yang disiarkan di laman Twitter Tan 22 Oktober lalu berbunyi:
Tanah runtuh di lereng bukit.
— Tan Seng Giaw (@Senggiaw) October 22, 2017
Ibu jaga anak kan sakit,
Darah tubuh beban kesihatan;
Pemaju bina leretan bukit,
Tanah runtuh korban insan.
"Dengan tidak disangka-sangka, terbitnya serangkap keluhan bagi meratapi peristiwa ngeri itu. Ia dinukilkan sendiri oleh ahli parlimen DAP yang kita segani.
"Sebetulnya apa kias yang YB Kepong ingin sampaikan, hanya Tuhan yang tahu," katanya.
Pada 21 Oktober lalu, seramai 11 terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan kos rendah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata projek tersebut tidak mendapat kelulusan kerana tiada zon penampan antara tapak projek dengan kuari granit.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Maimunah Sharif pula berkata projek itu diluluskan Jabatan Mineral dan Geosains, dan pemaju telah mengikuti garis panduan keselamatan.
Mengulas lanjut, Najib berkata tuntutan mengejar kemodenan tidak harus sehingga mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar.
Justeru, katanya lagi, kerajaan menyediakan peruntukan bagi pembangunan lestari, antaranya Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dengan peruntukan RM5 bilion bagi menggalakkan pelaburan dalam industri hijau.
Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM1.3 bilion bagi membina tempat penyimpanan luar sungai (off-river storage) sebagai sumber air alternatif, dan RM517 juta untuk tebatan banjir seluruh negara.

