BAJET 2018 l Kerajaan hari ini mengumumkan tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia.

Keputusan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seiring dengan pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan pada tahun itu antaranya menjadi tuan rumah kepada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

“World Tourism Organisation melaporkan bahawa pada 2016, Malaysia adalah negara ke-12 yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia.

“Bak kata orang, Dari Melaka ke Negeri Pahang, Tumpang Berteduh di Bandar Pekan, Negara Tersohor Pelancong Pun Datang, Itulah Tandanya Malaysia Aman, katanya ketika membentangkan Bajet 2018, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Najib, seterusnya, bagi tahun 2018, dijangka 28 juta pelancong melawat Malaysia dan demi menyiapkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, kerajaan akan memperkenalkan beberapa skim bantuan.

Antaranya RM2 bilion diperuntukan kepada Tabung Pelancongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan insentif subsidi berkadar faedah dua peratus menerusi Bajet 2018.

Katanya, kerajaan juga akan memperluaskan hab serantau e-Visa bagi memudahkan permohonan di seluruh dunia terutama kepada ekspatriat, pelajar asing dan peserta program Malaysia My Second Home.