Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih RM6.8 bilion untuk Sabah dan S'wak
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 7:25 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

BAJET 2018 l Kemajuan dan kesejahteraan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak terus mendapat perhatian utama Perdana Menteri dengan lebih RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah Bajet 2018 untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan.

Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini, mengumumkan sebanyak RM1 bilion akan disediakan untuk Sabah dan RM1 bilion lagi untuk Sarawak bagi tujuan membaik pulih sekolah-sekolah daif melalui Sistem Bangunan Berindustri (IBS).

Katanya, ini merupakan peruntukan terbesar yang disediakan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, sejumlah RM2 bilion akan diperuntukkan untuk projek Lebuhraya Pan-Borneo.

Beliau berkata, kesemua 11 pakej pembinaan di Sarawak telah diagihkan manakala lima daripada 35 pakej Fasa Pertama di Sabah telahpun dianugerahkan, dan 12 lagi dalam proses tender.

Perdana Menteri berkata RM1 bilion lagi akan diperuntukkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak.

Katanya, hampir RM500 juta akan diperuntukkan untuk tujuan projek pembangunan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak, manakala RM620 juta lagi untuk projek bekalan elektrik di kedua-dua negeri itu yang akan membawa manfaat kepada 10,000 rumah luar bandar.

Sejumlah RM300 juta juga akan disediakan bagi bekalan air bersih yang akan meliputi 3,000 rumah di Sabah dan Sarawak, katanya.

“RM50 juta diperuntukkan untuk pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, iaitu RM30 juta untuk Sarawak dan RM20 juta untuk Sabah,” kata beliau.

Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak juga akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM80 juta di bawah Bajet 2018.

Bagi mewujudkan peluang menjana pendapatan, sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan kepada Sabah dan RM10 juta lagi untuk Sarawak di bawah program 1AZAM.

Selain itu, bagi merancakkan pelaburan, perdagangan dan industri, Najib berkata peruntukan akan disediakan bagi membina jalan akses ke Empangan Baleh di Sarawak.

Kerajaan juga merancang untuk membina baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan Terbang Sandakan.

“Untuk merancakkan pembangunan di Labuan, kerajaan akan membuat kajian kebolehlaksanaan bagi membina jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar di Sabah,” katanya.

Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di Sabah dan Sarawak adalah antara 600 unit rumah seluruh negara yang bakal menerima manfaat perumahan di bawah program My Beautiful New Home atau ‘MyBNHomes’ , kata Najib.

- Bernama

Lihat Komen
ADS