Berita Malaysiakini

Pujian Najib melebihi bajet yang ada - Zahid

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

BAJET 2018 l Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi merasa terharu apabila menerima pujian daripada Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan bajet 2018 di parlimen hari ini.

Ahmad Zahid menyifatkan pujian daripada perdana menteri itu sebagai satu penghargaan yang besar serta “melebihi bajet yang ada”.

“Secara peribadi akhirnya saya amat merasa teruja dengan pengiktirafan diberikan perdana menteri kepada saya sebagai sahabat yang setia, itu melebihi daripada bajet yang ada.

“(Pujian itu) penghargaan dari ketua kerajaan kepada timbalannya, sebagai sahabat lama bersama beliau rasa amat dihargai,” katanya pada sidang media selepas pembentangan bajet itu.

Najib hari ini menamatkan ucapan belanjawannya dengan kata-kata pujian untuk Ahmad Zahid.

Katanya semua kejayaan yang dicapai hasil kerjasama berpasukan.

"Bertuahlah saya kerana mempunyai bukan sekadar seorang timbalan perdana menteri, tapi lebih jauh daripada itu, seorang sahabat yang setia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," kata Najib.

Najib turut menghargai walak dan sokongan tidak berbelah bahagi diberikan oleh anggota jemaah menteri serta pemimpin parti komponen ketika beliau "menakhoda bahtera Malaysia".

Najib kemudian dengan bersemangat berkias untuk mengajak penyokong kerajaan berjuang memenangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Selepas menamatkan ucapan itu dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertanya kepada dewan untuk mendapatkan sokongan.

Ahmad Zahid terus bangkit dan berkata: "Tuan yang Dipertua, saya menyokong dengan sepenuh-penuhnya."