Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BAJET 2018 | Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pembentangan belanjawan yang baru diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak adalah yang paling cemerlang kerana merangkumi semua peringkat masyarakat.

Ahmad Zahid juga tidak menafikan bahawa belanjawan kali ini ada kena mengena dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang dan berharap semua pihak bekerjasama agar BN mencapai kemenangan.

“Kalau semua pihak berikan sokongan, kita perlu bekerja keras dan bijak bagi mencapai kemenangan dalam PRU.

“Kesemua kementerian dan agensi kena bekerjasama, kena terjemahkan komitmen dengan menerima bajet yang cemerlang.

"Komitmen ini diharapkan bukan hanya dari perdana menteri tapi semua menteri,” kata Zahid dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2018 hari ini.

Belanjawan 2018 memperuntukkan RM280.25 bilion, menyaksikan pertambahan peruntukan berbanding RM260.8 bilion peruntukan pada Belanjawan 2017.

RM234.25 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan, sementara RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, selain simpanan luar jangka RM2 bilion.

Selain itu, antara reaksi ahli parlimen BN yang lain terhadap Belanjawan 2018 adalah seperti berikut:

Anggota Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar:

“Sebagai Anggota Parlimen Tanjung Karang yang mewakili pesawah, ini pertama kali kerajaan memberikan bantuan kewangan sebanyak RM200 selama tiga bulan sewaktu petani nak menunggu musim menuai padi.

“Yang kedua, saya sebagai pemimpin Umno Selangor saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada PM akhirnya mendengar rintihan kami. Saya sebagai menteri dalam kabinet selalu cakap isu tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau dihapuskan, hari ini jadi kenyataan,” katanya.

Anggota Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein:

“Kami dituduh dengan mengatakan ia adalah bajet PRU tapi anda tahu agenda kita untuk menjaga kebajikan tentera dan veteran sejak sekian lama.

“Agenda perumahan sehingga tahun 2030 mungkin akan dipenuhi termasuk semua keperluan anggota kita dan blueprint yang disebut PM akan dilancarkan tidak lama lagi… ini membanggakan dan akan disentuh secara peribadi,” katanya.

Anggota Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim:

“Bagi saya ini adalah bajet terbaik di dunia kerana ia hanya memberikan sesuatu tanpa kenakan cukai. Saya tak pernah lihat mana-mana negara yang buat bajet seperti kami.

“Saya bersyukur kerana kerajaan memberikan insentif one-off kepada petani. 89 peratus pengundi saya adalah pesawah.

“Rakyat Malaysia perlu bersyukur, tak boleh tak bersyukur. Dalam Islam, jika orang memberi anda petrol, kamu perlu bersyukur.

"Kamu bebas untuk menyokong mana-mana parti politik. Tetapi jika parti itu membantu anda, mengapa mengundi pihak lain,” katanya.

Anggota Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim:

“Beberapa kumpulan sasar mendapat hadiah dari Bajet 2018 seperti warga emas yang ditambah RM50 dalam bantuan menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM350.

"Golongan OKU yang bekerja ditambah RM50 lagi. Elaun kanak-kanak juga turut disentuh.

“Pada saya, bukan sahaja (Belanjawan 2018) menambahkan peranan wanita, malah kesejahteraan keluarga juga disentuh baik,” katanya.

Anggota Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Ahmad:

“Kejutan sudah pasti dengan penghapusan empat tol di Selangor, Kedah, dan Johor. Jangan pula nanti Pakatan Harapan kata ini perjuangan mereka, sebenarnya ini hasil tuntutan, khususnya Umno Selangor yang minta untuk dipertimbangkan supaya tol di kawasan itu dihapuskan.

"Alhamdulillah bajet kali ini kita putuskan untuk hapuskan tol di empat tempat ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS