Sembilan pekerja ladang maut dalam kemalangan jalan raya di KM45 Jalan Ipoh-Teluk Intan dekat Mambang Di Awan dekat Tapah pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din berkata, kesemua sembilan mangsa yang maut dalam adalah warga tempatan.

Menurutnya, kemalangan kira-kira jam 6.45 pagi membabitkan sebuah lori ais dan sebuah van pekerja ladang di kawasan berhampiran.

Katanya siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori yang berumur 22 tahun hilang kawalan semasa tiba di selekoh jalan berkenaan, sebelum memasuki laluan bertentang dan berlanggar dengan van tersebut.

"Lori ais itu dari Mambang Di Awan, Kampar menuju ke Air Kuning telah berlanggar secara berdepan dengan sebuah van yang membawa pekerja ladang dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, kesemua penumpang serta pemandu van lelaki yang berumur 32 tahun maut di tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tapah.

Som Sak berkata pemandu lori yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Kampar sebelum dipindahkan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Siasatan awal mendapati kedua-dua pemandu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan trafik.

- Bernama