Elektrik, air: S'wak akan manfaat peruntukan dalam bajet 2018
Sarawak akan memanfaatkan jumlah peruntukan bagi negeri ini dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata bajet itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus jumlah peruntukan yang diperoleh Sarawak berhubung bekalan elektrik dan air bagi penduduk di luar bandar.
“Jumlah peruntukan RM620 juta (elektrik) bagi 10,000 rumah dan RM300 juta (air) bagi 3,000 rumah bagi Sarawak dan Sabah tidaklah begitu besar.
“Berdasarkan perancangan, kami memerlukan lebih banyak daripada itu, bagaimanapun, kami berterima kasih kepada perdana menteri kerana memberi jumlah yang agak besar untuk kami benar-benar melaksanakan apa yang telah kami rancang dan keutamaan yang kami perlu lakukan,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai pembentangan bajet itu ketika ditemui pemberita pada majlis Apresiasi dan Inovasi Lembaga Air Sibu di sini malam tadi.
Beliau berkata Sarawak perlu berusaha dengan lebih keras dari segi liputan bekalan elektrik dan air berikutan saiz negeri ini yang luas, kedudukan penduduk yang berselerak dan masalah logistik.
Ini, katanya, supaya Sarawak tidak ketinggalan terlalu jauh daripada negeri lain di Malaysia.
Sementara itu, Rundi berkata kementeriannya sedang dalam proses mewartakan lebih 30 daripada 58 kawasan tadahan air di negeri ini sebagai kawasan dilindungi.
- Bernama

