Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 16 juta anak penyu dilepas ke laut sejak 1979

Sebanyak 16,932,702 anak penyu dilepaskan ke laut menerusi program konservasi yang dijalankan di Taman Pulau-Pulau Penyu (TPPP) di Sabah sejak 1979 hingga 2016.

Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais berkata 15,829,841 adalah spesis penyu hijau manakala 1,093,861 pula penyu sisik dan kesemua anak penyu ini dilepaskan dari telur penyu yang menetas di pusat penetasan tiga pulau dalam TPPP iaitu Selingan, Bakkungan Kecil dan Gulisaan.

Katanya jumlah kutipan telur penyu di TPPP dalam tempoh sama adalah 22,449,572 biji iaitu 10,428,711 biji di Pulau Selingan, Pulau Bakkungan Kecil (6,381,682) dan 5,629,179 di Pulau Gulisaan manakala jumlah penyu hijau dan sisik yang direkodkan mendarat dan bertelur pula ialah 279,389 sarang.

Berdasarkan jumlah penyu yang mendarat, telur penyu yang dikutip dan anak penyu yang dilepaskan ke laut menunjukkan pewartaan taman ini adalah usaha penting kepada pemuliharaan penyu di negeri ini, katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulangtahun Pewartaan TPPP Kali Ke-40 di Pulau Selingan, hari ini.

“Usaha konservasi di TPPP juga dikenali dan menjadi penanda aras di seluruh dunia dari segi keberkesanan memulihara penyu,” katanya.

​​​​​Jamili berkata pewartaan TPPP pada 1 Oktober 1977 membolehkan aktiviti pemuliharaan penyu dapat dilakukan termasuklah pengurusan pusat penetasan, kawasan terumbu karang dan hidupan marin serta membolehkan usaha mengekalkan kemandirian penyu laut dilaksanakan.

Katanya seramai 103 pelawat di TPPP menyertai program ‘Sarang Penyu Angkat’ yang diperkenalkan pada tahun lepas bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan mulai Januari hingga 20 Okt lepas, jumlah penyumbang adalah 353 orang.

Beliau berkata bermula 1982 hingga September lepas mencatatkan jumlah pelawat ke taman ini seramai 256,002 orang.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS