Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mohon pembantu rumah dari negara sumber jimat 50 peratus'

Permohonan menggaji pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen dapat menjimatkan 50 peratus daripada kos proses tersebut pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebelum ini, majikan terpaksa menanggung kos keseluruhan membawa masuk pembantu rumah berjumlah di antara RM12,000 hingga RM18,000.

"Ada kalangan pekerja asing ini bertukar tiga atau empat majikan setahun sehingga menyebabkan setiap kali (majikan) mengambil pembantu rumah asing mereka terpaksa membayar hingga RM80,000 setahun sedangkan pendapatan tidak sampai ke peringkat itu," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Projek Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop daerah Perak Tengah di Bagan Datuk, hari ini.

Semasa membentang Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Najib mengumumkan majikan boleh memohon pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada. 

Menjelaskan perkara itu, Ahmad Zahid berkata majikan boleh terlebih dahulu memohon pas lawatan sosial bagi pekerja, yang boleh digunakan dalam tempoh 30 hari, secara dalam talian.

"Dalam tempoh (30 hari) itu, majikan boleh membuat permohonan dalam talian bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk membolehkan mereka (warga asing) bekerja sebagai pembantu rumah," katanya.

Sebelum ini, ketua isi rumah atau bakal majikan yang ingin menggaji pembantu rumah asing dari sembilan negara termasuk Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam dan Bangladesh, perlu pergi sendiri ke negara itu atau menggunakan ejen.

Ditanya mengenai keselamatan khususnya jenayah dalam pengambilan pembantu rumah asing, Ahmad Zahid berkata bakal majikan tidak perlu khuatir mengenai perkara itu.

"Negara kita mempunyai sistem keselamatan yang cukup (baik) antaranya sistem biometrik, biomedik dan sistem pengimbasan keselamatan," kata beliau. -Bernama

Lihat Komen
ADS