Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Macau scam: Polis Thai tahan seorang lagi lelaki M'sia

Seorang lelaki warga Malaysia berumur 19 tahun merupakan suspek terbaru ditahan polis Thailand berhubung siasatan terhadap sindiket "Macau Scam" yang didalangi gengster Taiwan.

Lelaki itu ditahan semalam susulan serbuan di sebuah kondominum pada Jumaat malam apabila polis Thailand menyelamatkan seorang wanita Malaysia dan lima rakannya serta menahan seorang lelaki warga Taiwan berumur 29 tahun yang pihak berkuasa syak ialah ketua sindiket itu.

"Lelaki 19 tahun berasal dari Melaka itu mengaku yang dia menyewa unit kondominium itu dengan bayaran 87,000 Baht sebulan (kira-kira RM10,800), tetapi menafikan dakwaan lain (terlibat dengan sindiket Macau Scam atau memukul wanita berkenaan)," kata sumber polis Thailand yang terbabit dalam penyiasatan kes itu kepada Bernama hari ini.

Menurut sumber itu, lelaki Malaysia itu yang ibunya ialah warganegara Thailand dan boleh bertutur dalam bahasa Thai ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi semalam sebaik tiba dari Malaysia dan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan di kondominium terletak di kawasan Bangna, pinggir Bangkok, polis Thailand telah menyelamatkan wanita Malaysia itu yang mengalami kecederaan di lengan dan kaki akibat dipukul oleh anggota sindiket itu.

Serbuan itu dilakukan hasil maklumat diberikan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Bangkok.

Menurut polis, siasatan mendapati wanita Malaysia itu telah dipukul dengan batang besi sebagai hukuman kerana enggan menurut arahan sindiket itu.

Lelaki Taiwan itu, menurut sumber polis itu, mengaku dia yang bertanggungjawab memukul wanita Malaysia itu tetapi menafikan dakwaan dia menjalankan operasi Macau Scam di kondominium itu dan enggan memberi kerjasama dalam siasatan itu.

"Dia mengaku yang dia memukul wanita itu," katanya.

Sumber polis itu berkata wanita itu dikurung secara paksa dalam kondominium itu dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan kecederaan dialaminya dan keadaannya kini bertambah baik.

Beliau berkata siasatan awal polis juga mendapati lima lagi suspek warga Malaysia ditahan dalam serbuan itu dengan suspek berkenaan didapati telah beberapa kali datang ke Thailand sebelum ini dan polis akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada imigresen berhubung perkara itu.

"Polis mahu tahu sudah berapa lama sindiket ini beroperasi di Thailand," kata sumber itu dan menurutnya pada ketika ini lima warga Malaysia itu akan menjadi saksi utama dalam siasatan terhadap sindiket Macau Scam.

-Bernama

Lihat Komen
ADS