Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan kaji beri wang ganti kereta lama
Diterbitkan:  Oct 30, 2017 8:21 AM
Dikemaskini: 12:38 AM

Kementerian Pengangkutan kini di peringkat akhir melakukan kajian polisi baharu bagi jangka hayat kenderaan, kata menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kajian itu, yang turut mengandungi cadangan pemberian insentif bagi menukar kenderaan lama kepada baharu, perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

"Kita tidak letakkan jangkaan tempoh untuk laksanakan polisi ini kerana kita tahu ia membabitkan pelbagai perkara selain perlu meminda undang-undang pengangkutan terutamanya Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bagaimanapun, kita memahami kebimbangan rakyat kerana semakin ‘berusia’ kenderaan itu, semakin banyak isu atau masalah yang timbul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen MCA Perak 2017 di Ipoh, semalam.

Liow berkata sekiranya polisi itu dilaksanakan, Kementerian Pengangkutan akan menentukan jangka hayat sesebuah kenderaan selain pemberian insentif kepada pemilik yang mahu menamatkan jangka hayat kenderaan mereka.

"Kita mungkin bagi rebat atau wang tunai kepada mereka yang bersedia melakukan penamatan itu dan bagi kita, ia antara cara terbaik untuk mengurangkan jumlah kenderaan lama di atas jalan raya," katanya.

Selain itu, katanya, banyak aduan yang diterima daripada pelbagai jabatan dan agensi yang mahu polisi baharu itu diperkenalkan dengan segera bagi mengurangkan masalah kenderaan terbengkalai.

Liow berkata kenderaan terbengkalai itu boleh mendatangkan pelbagai masalah dan ada laporan menyatakan bahawa ia menjadi tempat takungan hingga menyebabkan berlakunya penyakit denggi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS