PAS mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai generasi pelapis mantap yang merupakan rahsia umum kekuatan parti itu, kata ketua penerangannya, Nasrudin Hassan.

Keyakinannya itu berdasarkan keupayaan parti itu dua himpunan besar baru-baru ini yang melepasi angka sasaran kehadiran.

“Saya berkesempatan hadir di dua himpunan tersebut. Majlis berlangsung pada 28 Okt jam 2.30 petang di Kuala Kangsar, Perak dan 9.30 malam di Kota Sarang Semut, Kedah.

“Inilah gelombang hijau atau lebih tepat Gelombang Islam yang terhasil dari Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu, kini sudah melanda seluruh negara.

“Bermula di Perak, Kedah dan Insya-allah bakal merebak ke negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily.

Menurut Nasrudin, sejak 1951 hingga kini, PAS boleh kalah dalam pilihan raya tetapi tidak pernah kalah dalam perjuangannya.

Katanya, anak-anak muda menepati 80 peratus kehadiran dengan semangat waja dan kental berjuang di ruang demokrasi untuk memenangkan PAS pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

“PAS terus mara dengan yakin dan gagah untuk terus teguh bersama perjuangan Islam dan prinsipnya. Biar menempuh 1001 ujian.

“Pemimpin pergi dan datang, isu semasa pasang dan surut, namun temperature perjuangan Islam tidak pernah rendah,” katanya.

Beliau berkata, PAS terus didekati oleh semua lapisan kerana memperjuangkan agama.

“Dasar perjuangan Islam, prinsipnya yang teguh, pendekatannya yang matang dan sejahtera, langkah yang konsisten, sikapnya yang jelas dan kesatuannya yang mantap menjadikan PAS terus mendekati pelbagai pihak dan didekati oleh semua,” katanya.

Nasrudin meletakkan jumlah kehadiran di Kuala Kangsar pada angka lima ribu orang manakala 12 ribu di Kota Sarang Semut.