Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG sekali lagi arah polis siasat lanjut kes 1MDB
Diterbitkan:  Oct 30, 2017 10:14 AM
Dikemaskini: 6:03 AM

PARLIMEN l Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 24 Oktober lalu, sekali lagi mengarahkan pihak polis supaya menjalankan siasatan lanjut berhubung kes 1MDB, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk seri Azalina Othman Said.

Ini kali kedua AG menolak kertas siasatan polis ke 1MDB dalam masa empat bulan.

"Penyiasatan lanjut berhubung dengan kes 1MDB sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia berdasarkan arahan oleh Peguam Negara pada 24 Oktober 2017," kata Azalina dalam jawapan bertulis parlimen.

"Oleh sebab siasatan masih dijalankan, apa-apa pendedahan mengenai butiran siasatan boleh menjejaskan dan memprejudiskan usaha siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan perkara ini harus dihormati oleh semua pihak," katanya.

Beliau menjawap soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang menyoal tentang status siasatan 1MDB dan jika terdapat kelewatan dalam menyiapkan siasatan itu.

Pada 12 April lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan bahawa polis telah menyelesaikan siasatan mereka ke atas syarikat pelaburan negara itu dan telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Khalid, bagaimanapun pada Jun lalu berkata AG telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lanjut.

Bulan lalu, ketua polis negara yang baru dilantik, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tidak ada keperluan bagi polis untuk menyiasat perkara itu.

"Tidak, tidak, kita tidak perlu (menyiasat lebih lanjut), kerana siasatan telah selesai.

"Kecuali kami mendapat arahan selanjutnya dari PAC atau kabinet mengenai perkara ini," kata Fuzi pada sidang akhbar pada 20 Sept lalu.

Lihat Komen
ADS