ADUN Teja, Chang Lih Kang hari ini menempelak Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyangkal dakwaan bahawa bebanan kerja guru di sekolah mengakibatkan mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mendampingi pelajar.

Katanya, pemimpin Umno itu bercakap tanpa melihat realiti yang dihadapi guru ketika ini, sebaliknya, hanya berdasarkan apa yang dilihat melalui mata kasarnya sahaja

“Dia (Mahdzir) kena tahu bahawa bebanan guru semakin bertambah apabila mereka terpaksa menjalankan kerja-kerja di luar bidang pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.

“Bebanan tugas yang berlebihan ini juga bukan sahaja mengganggu tugas hakiki mereka sebagai pendidik, malah menyebabkan sesetengah guru hidup dalam tekanan kerja selain terlibat dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus,” katanya.

Mahdzir pada 23 Oktober lalu, memetik laporan International Level Organization (ILO), berkata, guru di sekolah-sekolah negara ini tidak terbeban dengan waktu bekerja hakiki seperti peraturan yang ditetapkan agensi antarabangsa itu.

Mengulas lanjut, Chang yang juga adalah Setiausaha Pemuda PKR (AMK) berkata, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian.

“mplikasinya, golongan pendidik ini tidak dapat memberikan sepenuh komitmen kepada kualiti dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

“Selain itu, saya juga mendapat aduan bahawa kertas yang dibekalkan oleh kerajaan tidak mencukupi untuk menampung bahan-bahan yang hendak difotokopi untuk diberikan kepada murid.

“Oleh yang demikian, guru perlu menggunakan cara lain untuk mendapatkan dana membeli kertas. Terdapat guru yang menggunakan wang sendiri dalam membeli kertas,” katanya.

Menurut Chang, tugas guru yang semakin rumit dan mencabar pasti mengundang tekanan kepada guru-guru.

“Tugas yang asalnya merupakan satu bentuk tanggungjawab kini dirasakan oleh guru sebagai satu bentuk bebanan kerja.

“Ini pastinya mengundang ketidakselesaan kepada guru-guru. Mereka melaksanakan kerja secara terpaksa dan pastinya hasil kerja guru ini tidak tidak seperti yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata, jika bebanan ini tiada atau dihapuskan, maka sudah pasti setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar memandangkan berkurangnya beban kerja.