PAS Kedah malam semalam, mengumumkan tiga tawaran yang terkandung dalam manifesto untuk negeri itu menjelang pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PAS Kedah di Alor Setar, pesuruhjayanya, Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menjanjikan tiga perkara - beras percuma, pemberian wang tunai kepada keluarga jenazah dan kem pembangunan insan untuk remaja.

Beliau berkata program sekampit beras akan diberikan hanya kepada mereka yang berkelayakan.

"Program ini diinisiatifkan berdasarkan hasil pengalaman PAS Kedah mengurus program sekampit beras untuk penoreh getah dari seluruh Kedah khususnya tertumpu di kawasan Sik, Baling dan Padang Terap, ketika mereka berhadapan dengan situasi harga getah menjunam pada dua tahun lalu.

"Hasil pengalaman tersebut, PAS negeri ingin menawarkan pada PRU akan datang ini, sekampit sejahtera buat bagi mereka yang berkelayakan," kata Ahmad Fakhruddin yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Seterusnya, beliau berkata, PAS Kedah merancang untuk mengembalikan semula “Skim Kafala”.

Skim ini membabitkan pemberian wang tunai kepada keluarga jenazah dan pernah dilaksanakan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum tahun 2013.

"Insya-Allah, jika diizinkan Allah SWT dan mandat diberikan rakyat, kita cuba menawarkan kenaikkan pada skim berkenaan dari RM500 kepada RM750," katanya.

Ketiga, kata, Ahmad Fakhruddin, PAS Kedah akan mengembalikan Kem Pembangunan Insan membabitkan anak-anak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Menurutnya, modal insan sumber menggerakan negara itu mestilah berpaksikan kepada individu-individu yang taat kepada Allah, menjaga sahsiah dan akhlak mereka serta berilmu.

"Dengan ilmu dan akhlak dimiliki setiap anak-anak dari Kedah maka insya-Allah, Kedah akan mencapai ketamaduan yang baik jika rakyatnya bersikap dan berakhlak mulia," katanya.

Mengenai hasrat PAS Kedah untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi negeri dan 15 kerusi parlimen, Ahmad Fakhruddin Kedah berkata beliau serius dan kenyataannya itu bukan sekadar syok sendiri.

“Maklumat yang kita perolehi adalah dalam PRU akan datang, PAS mahu mampu menewaskan BN dengan syarat seluruh ahli PAS dari peringkat akar umbi perlu bekerja bersungguh-sungguh berjumpa penduduk dari rumah ke rumah.

"Ketuk pintu dari rumah ke rumah, janganlah melihat kepada warna bendera mereka, jumpa dan nyatakan hasrat parti," katanya.

Beliau berkata anggota parti mesti sedar bahawa janji-janji yang dibuat oleh parti itu tidak bermakna apa-apa kecuali parti menang.

"Sebab itulah saya mendesak semua ahli PAS bekerja keras dengan tujuan untuk menegakkan agama Allah," katanya sambil mengajak seluruh ahli parti untuk memperbetulkan niat, berdisplin, konsisten dalam mengurus organisasi parti.

"Dengan demikian, kita tidak akan ada perasaan ragu-ragu dan was-was terhadap parti dan akhirnya bersabar dalam melaksanakan tuntutan dan amanah diberi oleh pihak pimpinan parti," katanya.