Paling kurang 233 barang turun harga selepas GST
PARLIMEN l Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata antara 16 hingga 26 peratus daripada 1,396 barangan mengalami penurunan harga selepas pelaksanaan GST.
Peratusan itu berdasarkan data harga yang dipantau kementerian itu, katanya dalam jawapan parlimen, hari ini.
"Peratus barangan yang mengalami penurunan harga ialah antara 16 hingga 26 peratus daripada 1,396 barangan bagi tempoh pelaksanaan GST sehingga kini," kata kementerian itu.
Kementerian menjawab soalan anggota parlimen Kubang Kerian Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS) yang meminta peratusan barangan yang mengalami penurunan harga semenjak sistem itu menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan pada 1 April 2015.
Namun, jawapan bertulis itu tidak menjelaskan lebih lanjut senarai atau jenis barangan yang mengalami penurunan harga itu.
Menurut jawapan bertulis itu lagi, peningkatan dan penurunan harga barang tidak semestinya berpunca daripada GST semata-mata, tetapi dipengaruhi pelbagai faktor antaranya kadar tukaran wang dan kekangan pengeluaran.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan terkenal dengan kenyataannya bahawa GST boleh menurunkan harga barang, ketika menjadi timbalan menteri kewangan di saat sistem itu diperkenalkan.

