Seorang pegawai polis hari ini memohon supaya dibicarakan atas dakwaan secara sukarela menyebabkan kecederaan dengan tujuan memaksa mangsa Balamurugan Suppiah yang mati dalam tahanan membuat pengakuan.

Inspektor Mohaneswaran Thiagarajah didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Klang berhubung kejadian di balai polis Bandar Baru Klang yang berlaku antara jam 7 malam dan 9.13 malam pada 6 Feb.

Jika sabit kesalahan, Mohaneswaran boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 16 Nov untuksebutan semula kes itu dan menetapkan ikat jamin pada RM1,200, dengan satu penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saraswati Ganesan, manakala Mohaneswaran diwakili oleh peguam Rajehgopal Vellu.

Peguam untuk keluarga Balamurugan, Eric Paulsen, turut hadir di mahkamah.

Sebelum ini, pada pendengaran oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kematian Balamurugan, beberapa tahanan yang bersama dengan Balamurugan di balai polis pada 6 Februari lalu mendakwa Mohaneswaran telah memukul ereka, termasuk Balamurugan.

Seorang saksi, Tamilasan Karapiah, juga mendakwa bahawa Mohaneswaran, ketika membelasah Balamurugan, mendakwa dirinya adalah "ketua gangster" balai polis berkenaan.

Apabila diarah hadir pada pendengaran EAIC pada 7 Jun lalu, Mohaneswaran menafikan tuduhan tersebut sebagai tidak benar.

Dua ahli patologi yang memberi keterangan di pendengaran EAIC berkata Balamurugan mati akibat trauma kekejangan yang memburukkan masalah jantungnya.